Format PDF atau Portable Document Format telah menjadi format pilihan apabila sesuatu dokumen itu perlu disimpan secara elektronik. Format PDF adalah unik kerana ianya boleh dibuka tanpa perlu menggunakan perisian yang asal yang digunakan untuk menghasilkan dokumen tersebut.
Perisian yang diperlukan untuk membuka dokumen berformat PDF ini juga boleh diperolehi secara percuma di www.acrobat.com Dengan wujudnya format PDF ini, dokumen dapat dikongsi dengan lebih mudah melalui email dan laman web. Penghantar tidak perlu lagi berasa risau tentang kemungkinan si penerima dokumen tidak dapat membuka dokumen yang mereka hasilkan oleh kerana tidak mempunyai perisian yang sama seperti perisian yang mereka gunakan.
Format PDF berupaya menyimpan dokumen yang mengandungi teks, imej, grafik dan juga kemudahan interaktif. Dokumen yang disimpan didalam format PDF ini juga dapat mengekalkan rupa letak sesuatu dokumen tanpa perubahan. Keupayaan ini adalah penting untuk memastikan dokumen seperti borang yang boleh dimuat-turun secara elektronik adalah sama dengan borang bercetak yang diberikan dikaunter.
Format PDF juga mempunyai kemudahan sekuriti dimana kata laluan boleh ditambah kepada sesuatu dokumen untuk memastikan keselamatan dokumen itu sentiasa terjamin. Dengan kemudahan ini format PDF boleh juga digunakan untuk menjual dokumen yang dihasilkan secara elektronik. Penerima perlu membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum kata laluan boleh diberikan untuk mengakses dokumen yang telah diterima.