Pameran Teknologi yang terbesar didunia sedang berlangsung sekarang selama tujuh hari di Hanover Jerman. Pameran Teknologi ini menyaksikan penyertaan dari semua sektor Perniagaan yang berkaitan dengan teknologi. Terdapat enam katogeri pameran yang diaturkan didalam 26 buah dewan pameran. Enam katogeri pameran tersebut adalah:
Prosess Perniagaan, Komunikasi, Sektor Awam, Pameran Khas, Perkakasan Digital, Perbankan dan Pameran Teknologi masa depan.
Pameran CEBIT ini merupakan tempat untuk syarikat gergasi memperkenalkan barangan atau teknologi yang baru mereka hasilkan kepada pasaran yang disasarkan. Pelancaran produk atau teknologi yang terkini menjadi satu kemestian untuk memastikan jenama sesebuah syarikat sentiasa berada didalam ingatan bakal pembeli apabila tiba masa untuk proses pembelian.
Terdapat beberapa produk dan penyelesaian yang menarik yang dapat dikongsikan. Diantaranya adalah Truphone. Dengan teknologi Truphone, pengguna yang mempunyai telefon bimbit dengan keupayaan WiFi telah boleh membuat panggilan melalui Internet ke pengguna Truphone yang lain secara percuma.
Gerai pameran Truphone menunjukkan bagaimana telefon bimbit jenis Nokia Siri E digunakan untuk membuat panggilan telefon ke telefon bimbit yang lain melalui Internet. Telefon bimbit yang mempunyai kemudahan Truphone juga boleh membuat panggilan ke Perisian yang menyokong tekonologi SIP seperti GoogelTalk dan Gizmo.
Toshiba juga telah memperkenalkan memori SD yang mencapai saiz 8 GB. Memori jenis SD adalah popular untuk digunakan didalam kamera digital dan alat pemain MP3. Dengan memori yang bersaiz 8GB pengguna telah boleh mengambil gambar video didalam format MPEG2 sehingga 3 jam 10 minit.
Kemudahan panggilan telefon melalui Internet seperti Skype kini tidak lagi memerlukan pengunaan komputer untuk berhubung. Aztech telah memperkenalkan telefon yang menggunakan teknologi DECT yang membolehkan panggilan dibuat terus ke komputer atau ke telefon yang menyokong kemudahan Skype.
Kemudahan VOIP telah boleh diakses melalui telefon pejabat dengan menggunakan kemudahan IPPABX dari Asterisk. Pemanggil hanya perlu mendail kod yang ditetapkan daripada telefon biasa dipejabat untuk bercakap dengan rakan mereka yang lain menggunakan teknologi VOIP.
Teknik berinteraksi menggunakan pergerakan tangan tanpa perlu menyentuh skrin komputer seperti didalam filem Minoriti Report telah menjadi kenyataan. Sebuah syarikat yang dinamakan LUMIO telah menghasilkan teknologi yang dinamakan Gesture Touch. Dengan menggunakan teknolgi ini pengguna boleh mengerakan objek diskrin dengan hanya memberikan arahan menggunakan pergerakan tangan.
Beberapa syarikat telah juga mempamerkan barangan yang berasaskan teknologi WiMAX. Teknologi WiMAX membolehkan sambungan tanpawayar dibuat sejauh 50 km dengan kelajuan sehingga 100 MB. Dengan penggunaan teknologi ini, kekangan yang selalu ditemui apabila kemudahan Broadband hendak diwujudkan dapat diselesaikan.
Kemudahan pengesahan menggunakan kaedah biometrik juga masih mendapat perhatian. Diantara produk yang menggunakan kemudahan ini adalah peralatan penyimpanan data seperti Thumbdrive, laptop dan juga telefon bimbit.
Pengunaan Hard Disk Drive sebagai storan penyimpan utama untuk laptop mungkin akan bertukar apabila Syarikat Sandisk memperkenalkan peralatan yang dinamakan SSD (Solid State Disk). SSD tidak mempunyai bahagian yang bergerak, ianya lebih ringan dan lebih cepat. Didalam masa yang sama ia dapat menjimatkan pengunaan bateri dan membolehkan komputer riba digunakan dengan lebih lama.